Nota

Nota Sejarah Tingkatan 4 Bab 1 Warisan Negara Bangsa

Perhatian kepada semua pelajar Tingkatan 4 yang bersekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Juga untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Mata pelajaran Sejarah merupakan mata pelajaran teras dalam setiap pakej Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang baharu bermula tahun 2020. Berikut dikongsikan Nota Sejarah Tingkatan 4 Bab 1 Warisan Negara Bangsa sebagai panduan buat pelajar.

Untuk makluman anda, objektif pembelajaran bab ini adalah supaya pelajar dapat memahami kronologi ciri-ciri perkembangan negara bangsa kerajaan Alam Melayu, meneroka bukti warisan negara bangsa sebelum kedatangan Barat dan membuat interpretasi keunggulan pentadbiran dan undang-undang di negara kita. Selain itu, pelajar perlu cuba menghubung kait peranan rakyat dan pemerintah di negara ini serta membuat rasionalisasi pengukuhan pentadbiran, undang-undang di negara kita.

peta-minda-warisan-negara-bangsa

Nota Sejarah Tingkatan 4 Bab 1 Warisan Negara Bangsa (Sejarah Form 4 Chapter 1)

Di bawah adalah nota mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4 bagi Bab 1: Kemunculan Tamadun Awal Manusia. Anda boleh merujuk maklumat di bawah untuk membuat latihan dan persiapan sebelum menghadapi peperiksaan mata pelajaran Sejarah.

Baca juga: Format Kertas Sejarah SPM Terkini

Latar Belakang Negara Bangsa Sebelum Kedatangan Barat

Sebelum kedatangan Barat telah wujud asas kerajaan Alam Melayu yang masyhur. Terdapat beberapa buah kerajaan Alam Melayu yang agung seperti Kerajaan Funan, Champa, Kedah Tua, Gangga Nagara, Srivijaya, Angkor dan Majapahit. Ciri-ciri negara bangsa kerajaan Alam Melayu berbeza daripada di negara Barat.

Ciri-Ciri Negara Bangsa Kerajaan Alam Melayu

1) Raja

  • Menjadi tonggak utama kerajaan.
  • Dianggap suci dan perlu sentiasa ditaati.
  • Contohnya, Raja Champa dianggap sebagai Dewa Siva.

2) Undang-undang

  • Dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan sesebuah kerajaan. Menjadi panduan pentadbiran kerajaan termasuk di wilayah pengaruh. Contohnya, kerajaan Majapahit mengamalkan undang-undang Kutara Manawa.

3) Wilayah pengaruh

  • Merujuk kawasan yang rakyat menerima dan memperakui kekuasaan seseorang raja. Contohnya, kerajaan Funan mempunyai wilayah pengaruh meliputi dari Sungai Mekong, Teluk Cam Ranh, selatan Myanmar dan Segenting Kra.

4) Rakyat

  • Merujuk penduduk dalam sesebuah wilayah yang setia kepada raja dan tidak menderhaka Contohnya, rakyat kerajaan Srivijaya melakukan upacara persetiaan dan meminum air sumpah sebagai bukti kesetiaan.

Ciri-ciri Negara Bangsa Kesultanan Melayu Melaka

Kesultanan Melayu Melaka mempunyai sistem pentadbiran, peraturan, masyarakat yang tersusun dan corak politik yang tersendiri seperti berikut:

  • Kerajaan : Muncul kerana adanya raja. Raja merupakan pemerintah tertinggi dan dibantu oleh pembesar.
  • Rakyat : Menumpahkan taat setia kepada Sultan Melaka serta mematuhi undang-undang. Kesejahteraan rakyat dijamin oleh sultan, manakala rakyat mengakui kekuasaan sultan.
  • Kedaulatan : Melambangkan kekuasaan tertinggi seseorang sultan. Merupakan hak mutlak sultan untuk mengawal rakyat dan wilayah.
  • Wilayah pengaruh : Merujuk kawasan pemerintahan raja yang diakui oleh rakyat. Wilayah pengarah Kesultanan Melayu Melaka diperoleh melalui penaklukan, naungan dan perkahwinan.
  • Undang-undang : Hukum Kanun Melaka dan UndangUndang Laut Melaka merupakan undang-undang bertulis zaman Kesultanan Melayu Melaka. Digunakan untuk mengukuhkan kerajaan dan melindungi rakyat.
  • Lambang kebesaran : Merupakan identiti kerajaan dan keistimewaan Sultan Melaka. Menjadi simbol kedaulatan sultan yang memerintah.

Hierarki sosial Kesultanan Melayu Melaka :

  • Sultan dan pembesar = golongan pemerintah
  • Rakyat = golongan diperintah

Keunggulan Sistem Pentadbiran dan Undang-undang

Sistem pentadbiran dan undang-undang yang tersusun bukti keunggulan Kesultanan Melayu Melaka.

Sistem pentadbiran

Terbahagi kepada pentadbiran pusat dan pentadbiran jajahan. Pentadbiran pusat dilaksanakan oleh Pembesar Berempat. Bendahara sebagai ketua pentadbir dan ketua turus angkatan tentera. Penghulu Bendahari menguruskan perbendaharaan secara teratur. Syahbandar bertanggungjawab mengutip cukai di pelabuhan. Pembesar lain memungut cukai di kawasan pegangan. Temenggung menjaga keselamatan kota Melaka. Laksamana sebagai panglima Angkatan Laut Melaka. Pada peringkat jajahan, pembesar menguruskan pentadbiran di daerah dan kampung.

Undang-undang

Terdapat dua jenis undang-undang, iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Hukum Kanun Melaka mengandungi 44 fasal. Antaranya berkaitan jenayah, bidang kuasa sultan dan pembesar, kekeluargaan dan hal berkaitan dengan ekonomi. Undang-Undang Laut Melaka diusahakan oleh Nakhoda Jenal, Nakhoda Diri dan Nakhoda Sahak. Sultan Mahmud Shah memperkenan undang-undang ini dan mengandungi perkara berkaitan dengan peranan nakhoda, pelayaran, jenayah di atas kapal dan percukaian.

Hukum Kanun Melaka

Jenayah

  • Fasal 5.1: hukuman bunuh terhadap kepada seseorang yang didapati membunuh tanpa pengetahuan raja atau pembesar
  • Fasal 4: hukuman bunuh terhadap sesiapa yang ingkar arahan dan memalsukan titah sultan

Peranan Sultan dan Pembesar

  • Fasal 1: dijelaskan tugas sultan, Bendahara, Temenggung dan Penghulu Bendahari
  • Sultan bertanggungjawab untuk melantik pembesar

Kekeluargaan

  • Fasal 26: pernikahan memerlukan empat orang saksi, dua orang sahaja tidak cukup
  • Hamba abdi dan wanita tidak boleh menjadi saksi tersebut

Ekonomi

  • Fasal 30: amalan riba diharamkan dalam urusan perniagaan
  • Orang niaga hendaklah akil baligh, siuman dan perlu melafazkan niat jual beli

Undang-undang Laut Melaka

Peranan Nakhoda

  • Fasal 13.1: nakhoda perlu diberi keutamaan untuk berniaga selama empat hari
  • Fasal 13.3: sekiranya nakhoda hendak singgah di tempat yang tidak ada dalam senarai, perlu bermesyuarat dengan semua orang di dalam kapal untuk mendapatkan persetujuan

Pelayaran

  • Fasal 9: malim harus arif tentang ilmu pelayaran

Jenayah

  • Fasal 5: seseorang yang berkelakuan jahat dan membunuh orang di atas kapal akan dikenakan hukuman mati

Percukaian

  • Fasal 6.3: nakhoda menentukan jumlah cukai yang dikenakan terhadap penumpang

Peranan Pemerintah dan Rakyat

Hubungan antara pemerintah dan rakyat selaras dengan konsep waadat, iaitu perjanjian antara pemerintah dan rakyat.

1) Peranan Sultan: Menaungi dan menjaga keselamatan rakyat. Mewujudkan perpaduan rakyat. Memastikan kemakmuran dan kestabilan kerajaan. Memperkenalkan undang-undang untuk mengawal rakyat.

2) Peranan pembesar: Memelihara keamanan dan kebajikan rakyat kawasan pegangan. Menjadi perantara antara sultan dengan rakyat. Mengutip hasil melalui sistem serah. Membekalkan tenaga tentera melalui sistem kerah.

3) Peranan rakyat: Taat setia kepada pemerintah dan mematuhi arahan pemerintah. Tidak akan menderhaka kerana bimbang ditimpa tulah, iaitu kecelekaan yang boleh menimpa seseorang kerana melanggar perintah raja. Menghadiri majlis umum seperti gotongroyong. Menjadi pengayuh atau pendayung kapal perang. Menjalankan aktiviti kerahan seperti membina istana atau jalan.

Contoh Soalan Bab 1

1) Senaraikan tiga wilayah yang dikuasai oleh Kesultanan Melayu melaka melalui peperangan

Tiga wilayah yang dikuasai adalah Pahang, Kulantan, Kuala Linggi.

2) Nyatakan jenis wilayah pengaruh semasa Kesultanan Melayu Melaka

Terdapat tiga jenis iaitu wilayah taklukan, wilayah naungan dan perolehan wilayah melalui perkahwinan

3) Terangkan latar belakang sistem pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka

Sistem tersebut dikenali sebagai Pembesar Empat Lipatan, setiap kawasan dikenali sebagai kawasan pegangan iaitu kawasan yang dikurniakan oleh Sultan Melaka kepada Pembesar Berempat. Sultan memberikan kuasa memerintah wilayah, sungai atau pulau kepada pembesar berempat.

4) Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka membuktikan bahawa asas negara bangsa telah wujud sebelum kedatangan kuasa Barat. Jelaskan iktibar yang diperoleh daripada perkembangan tersebut.

Bangga dengan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka Penting untuk mempertahankan identiti bangsa Membuktikan kemampuan kita mencapai kegemilangan Mampu menentukan nasib dan masa depan sendiri Penting untuk mengkaji sejarah tanah air

5) Sebagai generasi muda hari ini, cadangkan usaha-usaha untuk memantapkan sistem pentadbiran di negara kita.

Pemimpin yang berwibawa nenjalankan tanggungjawab dengan amanah akan dihormati dan disanjung tinggi oleh rakyat Tidak menyeleweng atau salah guna kuasa seperti rasuah Kesimpulannya kepimpinan merupakan faktor penting bagi memantapkan pentadbiran

6) Bincangkan impak/kesan negatif penguasaan wilayah melalui peperangan pada hari ini.

Kemusnahan harta benda seperti rumah Kehilangan tempat tinggal Rakyat menjadi pelarian akibat peperangan Hidup melarat Kesimpulannya peperangan pada hari ini membawa kepada kesengsaraan dan penderitaan rakyat negara yang terlibat

7) Sebagai generasi muda, apakah peranan/tanggungjawab anda terhadap sistem perundangan di negara kita?

Menghormati undang-undang negara Dengan cara menghayati dan mengamalkan kandungannya Kita perlu mengelakkan daripada melakukan kesalahan jenayah seperti membunuh, merompak dan lain-lain Kesimpulannya kita perlu mematuhi dan menghormati undang-undang negara supaya negara aman dan harmoni

Rumusan Bab 1: Sejarah Tingkatan 4

Kerajaan Alam Melayu mempunyai ciri-ciri pembentukan negara bangsa sebelum kedatangan barat. Ciri-ciri negara bangsa kerajaan Funan dan Champa diwarisi oleh kerajaan Srivijaya, kemudiannya Kesultanan Melayu Melaka dan diteruskan oleh Kesultanan Johor-Riau. Ciri-ciri negara bangsa ini meliputi raja, undang-undang, wilayah pengaruh dan rakyat. Kesultanan Melayu Melaka meneruskan warisan ini dengan mengungguli sistem pentadbiran dan perundangan sebelum kedatangan Barat. Ciri-ciri negara bangsa Kesultanan Melayu Melaka meliputi kerajaan, rakyat, kedaulatan, wilayah pengaruh, undang-undang dan lambang kebesaran. Di samping itu, hubungan pemerintah dengan rakyat yang wujud secara timbal balik kekal sebagai warisan bernilai sehingga kini.

Diharapkan perkongsian Nota Sejarah Tingkatan 4 Bab 1 Warisan Negara Bangsa dapat memberi manfaat kepada anda. Selamat melakukan ulang kaji dan semoga berjaya dalam peperiksaan yang diduduki.