Karangan

Langkah Cara Mengatasi Kesesakan Jalan Raya

Tahukah pelajar bahawa penulisan karangan Bahasa Melayu merupakan medan ujian tahap penguasaaan pelajar dalam penggunaan Bahasa Melayu? Sekiranya ya, anda seharusnya membuat persiapan yang baik dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan am serta melakukan latihan tambahan. Di bawah dikongsikan contoh karangan langkah-langkah mengatasi kesesakan jalan raya sebagai rujukan kepada pelajar.

Bagi menjawab soalan yang berkaitan dengan tajuk di bawah, pelajar perlu menggunakan fakta yang tepat serta gaya bahasa yang pragmatik. Pelajar juga boleh memberikan contoh situasi atau keadaan yang membantu menjelaskan huraian kepada isi penting yang diutarakan. Akhir sekali, rumuskan konklusi yang mudah kepada setiap isi-isi penting supaya menjadi penyata sokongan kepada isi penting yang dihuraikan.

peta minda langkah mengatasi kesesakan jalan raya Langkah Cara Mengatasi Kesesakan Jalan Raya

Langkah Dan Cara Mengurangkan Kesesakan Lalu Lintas

Isi-isi penting

  • Meningkatkan kualiti pengangkutan awam
  • Menambah rangkaian lebuh raya
  • Menggalakkan pengguna jalan raya patuh undang-undang
  • Merancang pembangunan bandar secara holistik
  • Menggalakkan perkongsian kereta
  • Mengehadkan kenderaan berat pada masa tertentu

Baca juga: Cara Menangani Masalah Obesiti Yang Berkesan

Contoh Karangan Langkah-Langkah Mengatasi Kesesakan Jalan Raya

Pendahuluan 

Marcapada ini, kawasan kampung telah menjadi sebuah daerah manakala terdapat daerah yang diiktiraf sebagai bandaraya. Penaikan taraf ini berlaku sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk serta pembangunan yang semakin rancak dari semasa ke semasa. Kesannya, berlaku penambahan jumlah pengguna jalan raya yang menggunakannya untuk bergerak di dalam kawasan bandar ataupun bergerak di antara satu bandar ke bandar yang lain. Akibat daripada penumbuhan jumlah kenderaan di atas jalan raya bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kesesakan lalu lintas sering kali berlaku. Khususnya pada waktu puncak iaitu di waktu pagi semasa masyarakat hendak ke tempat kerja dan di waktu sore di mana kebanyakan ahli masyarakat yang bekerja di bandar pulang ke rumah di kawasan pinggir bandar. Fenomena ini tidak dapat dielakkan dan pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi mengatasi masalah ini. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan apakah langkah-langkah yang perlu dilaksanakan bagi mengatasi kesesakan jalan raya.

Isi 1

Tindakan prima yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas adalah dengan meningkatkan kualiti pengangkutan awam. Kenderaan awam seperti bas, tren, tren aliran ringan dan monorel seharusnya menjadi pilihan masyarakat di kawasan bandar sebagai kaedah pengangkutan serta merupakan langkah alternatif untuk mengurangkan kesesakan jalan raya. Pihak kerajaan pula seharusnya mengkaji terlebih dahulu laluan bas atau tren yang berpotensi tinggi dan menerima jumlah penumpang yang tinggi sebelum menyediakan perkhidmatan awam tersebut. Selain itu, dengan tambang yang berpatutan serta suasana yang kondusif yang disediakan oleh pengangkutan awam, pastinya masyarakat akan menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap berbanding memandu kenderaan persendirian. Faktor kepadatan penduduk di sesuatu kawasan akan mempengaruhi corak pengangkutan yang mereka gemar dan jika pengangkutan awam berada dalam tahap kualiti terbaik dan berkesan, ia pasti dapat menyumbang kepada pengurangan kesesakan jalan raya terutamanya di kawasan bandar.

Isi 2

Pada masa yang sama, kesesakan jalan raya juga dapat diatasi dengan menambah rangkaian lebuh raya. Jika ditelusuri, masyarakat kita lazimnya bekerja di kawasan bandar tetapi menetap di kawasan pinggir bandar atau daerah lain yang berdekatan dengannya. Hal ini demikian kerana kos memiliki atau menyewa hartanah di kawasan bandar adalah tinggi dan menyebabkan kebanyakan di antara kita lebih gemar menghabiskan masa di jalan raya berbanding menetap di kawasan yang berdekatan dengan tempat kerja masing-masing. Situasi ini bukan sahaja menyumbang kepada jumlah pengguna jalan raya malah menambah kesesakan jalan raya yang sedia ada. Justeru, pembinaan rangkaian lebuh raya antara bandar dan kekawasan pinggiran bandar pasti dapat mengurangkan kesesakan jalan raya. Lebuh raya mempunyai ciri-ciri yang baik seperti jumlah laluan yang banyak serta sebagai jalan pintas untuk ke sesuatu tempat. Sebagai contoh, Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan kawasan pinggir bandar di Klang, Selangor dengan kawasan bandar iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bak kata pepatah, di mana ada gula, disitu ada semut. Di mana ada sumber rezeki, maka disitulah ramai orang akan berhimpun mencari peluang dan ruang yang ada.

Isi 3

Kaedah lain yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya adalah dengan menggalakkan pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang jalan raya. Kebanyakan kesesakan yang berlaku di jalan raya atau lebuh raya adalah akibat daripada kemalangan pengguna jalan raya. Kemalangan pula lazimnya berlaku akibat kecuaian pemandu kerana mereka memandu dengan tidak berhemah dan tidak mematuhi had kelajuan yang ditetapkan. Disebabkan oleh perilaku mereka, kenderaan lain terpaksa menggunakan hanya satu atau dua laluan bagi meneruskan perjalanan dan telah menyebabkan kesesakan berlaku. Setiap pemandu tanpa mengira kenderaan yang dibawa seharusnya menyemat slogan biar lambat asalkan selamat supaya tidak mendatangkan mudarat kepada diri dan juga orang lain. Elakkanlah daripada bersikap seperti sudah terhantuk baru terngadah apabila kemalangan berlaku kerana di sebaliknya, kita mampu mencegahnya. Tambahan pula, terdapat pengguna jalan raya yang gemar meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya dan menyebabkan kesesakan pada pemandu kenderaan yang lain. Natijahnya, dengan pemanduan berhemah dan peraturan jalan raya yang ketat serta efisien, kesesakan jalan raya pasti dapat diatasi.

Isi 4

Bertunjangkan kewarasan minda kelas pertama, kesesakan jalan raya boleh diatasi dengan merancang pembangunan bandar secara holistik. Setiap pembangunan pasti mempunyai pelan dan ia melibatkan proses kaji selidik sebelum ia mendapat pengesahan untuk dilaksanakan. Begitu juga dengan jalan-jalan raya di kawasan bandar khususnya perlu menjalani proses perancangan yang melangkaui 10 hingga 50 tahun ke hadapan. Dengan menjalankan kajian secara kolektif dan menyeluruh, kita dapat menganggarkan situasi jalan raya tersebut di masa hadapan sama ada ia memerlukan dua atau lebih laluan kenderaan. Selain itu, lalun yang mesra pengguna seperti laluan bas, basikal dan penjalan kaki juga boleh diukur dan diterapkan mengikut kesesuaiannya dalam sesebuah bandar. Malaysia sebenarnya mempunyai ramai graduan dalam bidang perancangan bandar tetapi tidak diberikan peluang untuk merancang dengan baik kerana berlaku konflik dengan kepentingan individu lain yang mempunyai kuasa seperti ahli politik dan ahli perniagaan. Intihannya, perancangan bandar yang menyeluruh dan bersifat progesif pasti dapat menyediakan sesebuah kawasan tersebut dengan jumlah pengguna jalan raya yang meningkat dari tahun ke tahun serta tidak menyebabkan kesesakan jalan raya.

Penutup

Konklusinya, jelaslah bahawa pelbagai langkah yang boleh diusahakan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya. Sesungguhnya, kesesakan lalu lintas mendatangkan kerugian masa, tenaga dan wang kepada setiap pengguna jalan raya. Ia juga memberi kesan buruk kepada alam sekitar kerana perlepasan karbon yang tinggi berlaku. Pihak berkuasa hendaklah bersikap prihatin terhadap rakyat jelata dengan menyediakan infrastruktur yang terbaik dan efisien. Hal ini supaya masyarakat dapat bergerak ke tempat kerja ataupun menjalankan urusan lain dengan mudah tanpa perlu memikirkan kos dan kesesakan yang akan ditanggung. Semoga usaha untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan ekonomi sejajar dengan pembangunan infrastruktur negara yang berfungsi baik dan memudahkan penggunanya. Diharapkan ia tidak menjadi seperti peribahasa Melayu yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Setiap pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mencari solusi kepada masalah ini dan menjalakan peranan masing-masing dengan jujur dan amanah demi kemaslahatan bersama.