Karangan
Peranan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-Anak Memanfaatkan Internet
Pasti ramai di antara pelajar yang mempunyai kesukaran atau masalah untuk menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu. Bagi menguasai penulisan karangan, pelajar perlu melakukan latihan tambahan yang banyak supaya anda dapat didedahkan dengan jenis-jenis tajuk soalan dan tema yang berpotensi untuk keluar ketika peperiksaaan dijalankan. Sebagai panduan untuk pelajar, berikut adalah contoh karangan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak memanfaatkan Internet.
Setelah mengenali tema-tema dan tajuk soalan yang lazimnya digunakan oleh guru-guru, pelajar perlu menguasai penggunaan tatabahasa dan penyusunan isi-isi penting yang sesuai dan menarik untuk digunakan. Jika pelajar berjaya menghasilkan penulisan karangan yang mempunyai plot yang menarik untuk dibaca dan ditambah dengan penggunaan frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana, ia mampu memberikan markah yang cemerlang. Anda hanya memerlukan bimbingan daripada guru masing-masing supaya penulisan karangan anda menepati kehendak soalan yang diberikan.
Isi Kandungan
Peranan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-Anak Untuk Memanfaatkan Internet
Isi-isi penting
- memberikan pendidikan tentang Internet
- mendidik etika penggunaan Internet
- memperkenalkan aplikasi pembelajaran yang menarik
- memperuntukkan masa yang sesuai
- menyekat laman-laman web yang tidak berfaedah
- menyemai akhlak dan keperibadian tinggi secara realiti dan maya
Baca juga: Kelebihan Perniagaan Online/ Dalam Talian
Contoh Karangan Peranan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak-anak Memanfaatkan Internet
Pendahuluan
Internet merupakan satu fenomena teknologi yang mengubah cara hidup manusia secara total. Urusan surat-menyurat yang memakan masa sehingga berminggu-minggu pada suatu masa dahulu telah berubah dengan adanya aplikasi emel di mana urusan tersebut boleh dilakukan secara langsung di alam maya. Situasi ini telah memberikan satu anjakan paradigma dalam kehidupan manusia kerana pelbagai urusan dapat dilaksanakan dengan pantas dan mudah tanpa perlu bermandi peluh serta melibatkan kos yang berpatutan. Sehingga hari ini, Internet telah menjadi tulang belakang kepada pelbagai industri seperti perkhidmatan komunikasi, perniagaan dan pendidikan yang telah menjadikan globalisasi satu perkara yang tidak mustahil untuk dikecapi. Namun, setiap ciptaan manusia ada baik dan buruknya. Ia bergantung kepada setiap individu untuk memanfaatkan kemudahan yang dinikmati sama ada memberi manfaat kepada diri atau sebaliknya. Justeru, wajar untuk kita mengetahui apakah peranan ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak tentang cara-cara untuk memanfaatkan penggunaan Internet.
Isi 1
Anak-anak boleh diibaratkan seperti kain putih. Ibu dan bapalah merupakan insan yang bertanggungjawab untuk menjalankan amanah dalam mencorakkan kain tersebut menjadi kain yang bernilai tinggi dan mempunyai corak yang menarik. Metafora ini menerangkan bahawa anak-anak tiada ilmu tentang segala perkara. Oleh itu, ibu dan bapa perlu memainkan peranan dengan memberikan didikan kepada mereka khususnya tentang penggunaan Internet. Seperti proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, ibu dan bapa juga perlu menerangkan segala butiran mengenai Internet sehingga mereka faham dan bijak dalam menggunakannya. Misalnya mengetahui laman web yang berunsurkan penipuan dan berisiko untuk dilayari serta kebaikan dan keburukan melayari media sosial hari ini. Peribahasa Melayu berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya, yang bermaksud kita seharusnya mendidik anak-anak sejak kecil agar apabila menjelang dewasa kelak mereka mempunyai ilmu yang betul dan berakhlak mulia dalam kehidupan seharian. Internet merupakan satu elemen yang akan digunakan secara menyeluruh di masa hadapan, maka pendidikan yang tepat sejak kecil adalah mustahak agar generasi muda celik teknologi dan mampu menjadi pemacu negara di masa akan datang.
Isi 2
Di samping itu, dunia tanpa batasan di Internet telah memberikan kesan yang pelbagai kepada individu, masyarakat dan dunia secara amnya. Hal ini kerana apabila ledakan Internet berlaku, ia dirai oleh segenap manusia di seantero dunia tanpa sebarang had atau etika dalam menggunakannya. Jika kita lihat semula dalam sejarah ketamadunan manusia, setiap tamadun menghasilkan peraturan sebagai garis panduan dalam menjalani kehidupan harian supaya tidak berlaku huru-hara dan pecah-belah dalam kalangan masyarakat. Ia juga sewajarnya diaplikasikan dalam setiap ciptaan teknologi hari ini seperti telefon pintar dan Internet. Sebagai ibu dan bapa yang bertanggungjawab, kita boleh mendidik anak-anak dengan etika yang wajar untuk diamalkan ketika menggunakan Internet. Contohnya, apabila berkongsi sesuatu di sosial media pastikan ia tidak mendedahkan butiran maklumat peribadi kita kerana ia berpotensi menjadi bahan rujukan penjenayah siber. Etika lain adalah elakkan daripada berkongsi sesuatu yang tidak pasti akan kesahihan kerana perkara tersebut mampu menjadi pencetus kepada sesuatu yang lebih buruk dan tidak disangka-sangka oleh kita. Perkongsian maklumat peribadi di Internet juga perlu diawasi oleh ibu dan bapa kerana anak-anak tidak tahu akan bahaya sekiranya mereka berkongsi maklumat peribadi dengan laman atau individu yang tidak dikenali. Kesannya, ibu dan bapa dapat membendung penyalahgunaan Internet dengan mengajar anak-anak etika yang sepatutnya dipatuhi dengan nilai berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tipu helah.
Isi 3
Peranan lain yang boleh dilakukan oleh ibu dan bapa untuk memanfaatkan penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak adalah dengan memperkenalkan aplikasi pembelajaran yang menarik. Generasi muda hari ini perlu dididik dengan pendekatan yang berbeza berbanding zaman ibu dan bapa mereka terdahulu. Jika ditelusuri, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah memerlukan fokus yang tinggi daripada anak-anak. Maka, jika ibu dan bapa ingin menawarkan pendidikan di luar bilik darjah, ia hendaklah sesuatu yang menarik dan interaktif supaya anak-anak seronok dan mempelajari sesuatu dalam masa yang sama. Rata-rata capaian Internet di negara kita adalah ditahap yang memuaskan dan ia seharusnya memberikan kelebihan kepada ibu dan bapa dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak ketika di rumah. Tamsilnya, aplikasi kuiz yang mengetengahkan penguasaan ilmu pengetahuan am dalam kalangan anak-anak seperti nama haiwan, kedudukan negara dan sebagainya. Ini adalah contoh aplikasi yang baik untuk dimuat turun dan dimainkan bersama-sama ketika waktu lapang di kediaman masing-masing. Pendekatan ini bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan anak-anak tetapi ia juga dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara ibu, bapa dan anak-anak. Kita juga boleh menilai kemampuan dan bakat yang ada dalam anak-anak kita sekiranya kita bijak dalam mencari kepakaran yang mampu menjadi punca rezeki anak-anak pada satu hari nanti. Bak kata pepatah Melayu, sambil menyelam minum air.
Isi 4
Akhir sekali, ibu dan bapa seharusnya menjalankan peranan masing-masing dalam memanfaatkan penggunaan Internet anak-anak dengan mengehadkan masa penggunaan seharian mereka. Peruntukkan masa dalam kehidupan anak-anak adalah mustahak kerana masa itu emas. Justeru, ibu dan bapa sewajarnya menyediakan jadual masa yang perlu dipatuhi oleh anak-anak pada setiap hari supaya nilai disiplin dan menepati masa dalam diri mereka dapat dicambah dengan baik. Pastikan anak-anak mempunyai peruntukan masa yang seimbang untuk mengulang kaji pelajaran, melayari Internet untuk belajar atau berhibur dan bersukan atau beriadah di luar sebagai langkah menjaga kesihatan diri. Dari sudut penggunaan Internet, ia adalah penting untuk menetapkan had masa supaya kanak-kanak tidak terdedah atau bebas melayari perkara yang kita tidak inginkan. Tambahan pula, penggunaan skrin yang terlalu lama akan memberikan kesan buruk kepada kesihatan mata anak-anak begitu juga kepada diri kita. Intihannya, sebagai ibu dan bapa yang mempunyai kewarasan dan pengetahuan yang lebih berbanding anak-anak perlu sentiasa mengetahui kesan baik dan buruk sesuatu teknologi terhadap fizikal, mental dan kerohanian kita.
Penutup
Kesimpulannya, ibu dan bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk memanfaatkan penggunaan Internet. Kita tidak boleh nafikan bahawa Internet adalah merupakan satu keperluan dalam kehidupan hari ini. Justeru adalah mustahak untuk semua pihak bukan sahaja ibu dan bapa perlu memastikan generasi muda hari ini celik dalam menggunakan perkhidmatan Internet. Jika golongan ini diasuh dengan acuan yang tepat, kemajuan negara pasti dapat dilaksanakan dengan baik dan tanah air kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat dimana jika kita berjaya membendung perkara negatif daripada berlaku pasti masalah seperti penyalahgunaan Internet dan jenayah siber yang semakin merunsing pada ketika ini dapat dielakkan. Ibu dan bapa harus sedar bahawa mereka adalah insan yang paling dekat dengan anak-anak untuk menjadi contoh tauladan terbaik kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Marilah kita bersama-sama menjadikan Internet sebagai wadah masyarakat yang positif dan memperjuangkan etika kesopanan dan kesusilaan secara realiti dan maya.