Karangan

Kepentingan Perhimpunan Rasmi Sekolah (Kebaikan Kepada Pelajar)

Kadang kala, soalan atau tema yang diajukan pada pelajar dalam penulisan karangan Bahasa Melayu adalah soalan dan tema yang mudah. Di sini, pelajar perlu memberikan isi penting, huraian dan peribahasa yang tepat serta menarik agar penulisan karangan anda menonjol daripada rakan anda yang lain. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan contoh karangan Kepentingan Perhimpunan Rasmi Sekolah (Kebaikan)

Perhimpunan sekolah merupakan satu majlis yang menggabungkan kehadiran guru serta pelajar di satu tempat dalam satu tempoh masa yang sesuai. Perkara ini sudah menjadi kelaziman di setiap sekolah di seluruh negara malah seluruh dunia kerana ia mempunyai kebaikan atau kepentingan yang banyak. Pelajar seharusnya berfikir dengan lebih kritis untuk memahami tujuan serta objektif mengadakan sebuah perhimpunan rasmi agar huraian yang tepat dan menarik dapat ditulis di dalam penulisan masing-masing.

peta minda kebaikan perhimpunan rasmi sekolah Kepentingan Perhimpunan Rasmi Sekolah (Kebaikan Kepada Pelajar)

Manfaat Perhimpunan Rasmi Sekolah Dalam Kalangan Pelajar

Isi-isi penting

  • Membentuk disiplin murid
  • Mengasah bakat kepimpinan murid
  • Memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid
  • Memaklumkan isu semasa kepada murid
  • Memupuk pelajar untuk menepati masa
  • Melahirkan semangat cinta terhadap sekolah

Contoh Karangan Kepentingan Perhimpunan Rasmi Sekolah

Baca juga : Nota Burung Terbang Dipipiskan Lada

Pendahuluan

Pada setiap minggu persekolahan, pelajar akan menyertai satu perhimpunan rasmi yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ia lazimnya dilangsungkan selama 30 minit atau satu jam bergantung pada waktu bermulanya sesi persokalahan masing-masing. Pelajar akan berbaris secara tegak dan menyanyikan lagu sekolah, negeri dan Negaraku mengikut tempo kibaran bendera yang dinaikkan. Selain itu, pelajar akan mendengar ucapan dan pengumuman daripada guru-guru berkenaan hal ehwal murid, pencapaian akademik serta pelbagai perihal lain. Bagi pelajar, mereka mungkin skeptikal dengan menghadiri perhimpunan rasmi pada waktu pagi dan berkumpul di kawasan lapang atau dewan sekolah. Tetapi, terdapat banyak kebaikan atau kepentingan yang wajar untuk kita bincangkan supaya perhimpunan rasmi sekolah menjadi satu usaha baik yang memanfaatkan selurh warga sekolah.

Isi 1

Kepentingan perhimpunan sekolah adalah untuk membentuk disiplin murid-murid. Kita sedia maklum bahawa menghadiri majlis rasmi memerlukan kita untuk mematuhi protokol yang ditetapkan. Pelajar akan membiasakan diri untuk mematuhi protokol atau adab apabila menghadiri perhimpunan rasmi di sekolah. Misalnya, pelajar akan datang sebelum perhimpunan dilangsungkan, pakaian seragam diseterika dengan kemas dan lengkap, dan duduk dalam barisan dengan tertib serta menumpukan perhatian terhadap apa yang berlangsung di hadapan mereka. Tingkah laku ini akan memupuk pelajar dalam menghadapi dunia kerjaya atau dewasa kelak dimana disiplin yang baik akan menjadi satu ketrampilan diri yang berguna untuk diri dan juga orang sekeliling. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jelas bahawa perhimpunan rasmi sekolah mampu membentuk disiplin pelajar ke arah yang lebih baik.

Isi 2

Di samping itu, perhimpunan rasmi sekolah dapat menjadi medan untuk mengasah bakat kepimpinan murid-murid. Hal ini kerana, kebanyakan perhimpunan akan dikelolakan oleh para pelajar sendiri. Guru hanya bertindak sebagai pembimbing manakala pelajar yang bertugas perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh komitmen serta disiplin. Pelajar berpeluang untuk menjadi juruacara di sebuah perhimpunan rasmi yang melatih mereka untuk berucap dihapadan orang ramai tanpa rasa gementar atau takut. Selain itu, pengawas yang bertugas perlu memastikan setiap pelajar menumpukan perhatian kepada majlis yang dilangsungkan dihadapan mereka serta memastikan tiada pelajar yang melakukan hal-hal lain sehingga menyebabkan perhatian beralih ke arah pelajar dan bukan guru di atas pentas. Oleh itu, pelajar perlu merebut peluang untuk menyertai jawatankuasa yang mengendalikan perhimpunan rasmi sekolah masing-masing untuk mengasah bakat kepimpinan yang ada dalam diri. Persis peribahasa Melayu,  belakang parang kalau diasah nescaya tajam juga.

Isi 3

Perhimpunan rasmi sekolah juga dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid-murid yang semakin pudar dari hari ke hari. Penggunaan internet mutakhir ini telah banyak mempengaruhi pelajar dengan budaya asing sehingga mereka lupa atau tidak ambil tahu tentang negara mereka sendiri. Justeru, nyanyian lagu patriotik, lagu negeri dan lagu Negaraku pasti dapat menyemarak semangat cinta akan negara dalam diri mereka. Tambahan pula, bacaan ikrar Rukun Negara menjadi satu peringatan kepada kita dan juga pelajar untuk meletakkan kepentingan negara lebih daripada kepentingan diri atau pihak-pihak tertentu. Secara tidak langsung, perpaduan antara murid yang menjadi cerminan masyarakat hari ini dapat dijamin dan tumbuh mekar seperti Bunga Raya. Guru-guru hendaklah memastikan pelajar faham dengan lagu atau apa-apa perkara yang berkenaan semangat patriotik supaya mereka sedar dan mula mengambil berat akan nilai yang menjamin masa kini dan hadapan negara.

Isi 4

Kepentingan lain menganjurkan perhimpunan sekolah adalah ia dapat menyampaikan maklumat atau isu semasa kepada murid dengan lebih efisien. Sebagai contoh, tarikh rasmi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui surat pekelliling. Maka, pengetua sekolah hanya perlu mengumumkan tarikh tersebut di khalayak ramai dan semua warga sekolah pasti dapat menerima informasi tersebut dengan jelas. Hasilnya, pelajar dan juga guru dapat melakukan persediaan yang lebih awal dan terbaik sebelum mereka menduduki peperiksaan. Selain itu, perhimpunan sekolah juga merupakan waktu terbaik untuk menyampaikan anugerah kepada mana-mana warga sekolah yang berjaya mengharumkan nama sekolah di apa peringkat sekalipun. Tindakan ini dapat memberikan penghargaan kepada mereka yang berjaya dan menunjukkan kepada warga sekolah yang lain bahawa mereka juga boleh berjaya seperti rakan-rakan mereka. Intihannya, perhimpunan rasmi sekolah dapat memastikan semua warga sekolah peka dengan isu semasa dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Penutup

Konklusinya, pelbagai manfaat yang dapat diperoleh daripada warga sekolah sama ada guru, pelajar atau kakitangan sekolah dengan menganjurkan perhimpunan rasmi. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru hendaklah memanifestasikan fikiran supaya pelajar dan guru dapat menganjurkan perhimpunan rasmi sekolah di kawasan yang selesa. Kemudahan infrastruktur seperti dewan tertutup dan alat pembesar suara yang terbaik disediakan bagi melancarkan perhimpunan yang diadakan. Semoga rutin ini tidak dihentikan kerana simbiosis antara guru dan pelajar boleh diperkukuhkan melalui perhimpunan sekolah serta melahirkan murid yang berketrampilan tinggi. Akhirnya akan membentuk masyarakat yang suka berhimpun dengan tertib dan mendapatkan manfaat bersama demi kemaslahatan bangsa, agama dan juga negara.

Related : sekolah supaya maklumat yang penting, wajib diadakan pada pagi setiap hari isnin dengan menghimpun semua murid dan guru guru di sesuatu tempat