Karangan

Langkah-Langkah Persiapan Menghadapi Revolusi Industri 4.0

Tajuk soalan karangan Bahasa Melayu diberikan berdasarkan tema atau topik yang berlaku dalam kehidupan para pelajar. Hal ini kerana ia membantu para pelajar supaya dapat menjawab soalan yang diberikan dengan isi-isi yang sesuai serta boleh menghurai isi tersebut dalam penulisan karangan yang baik dan cemerlang. Di bawah dikongsikan contoh karangan langkah-langkah persiapan iaitu persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0 yang menjadi topik hangat untuk dibincangkan.

Penggunaan frasa-frasa menarik dan peribahasa dalam penulisan karangan masing-masing akan menambah daya penarik kepada penulisan karangan pelajar. Pelajar-pelajar perlu berfikiran kritis dan kreatif apabila menulis karangan dan sentiasa menggunakan tatabahasa yang betul dan sesuai serta mengelakkan kesalahan ejaan dan sebagainya.

Langkah Persiapan Negara Menghadapi Revolusi Industri 4.0

peta minda langkah hadapi revolusi industri 4.0 Langkah-Langkah Persiapan Menghadapi Revolusi Industri 4.0

Isi-isi penting

  • melatih tenaga kerja berkemahiran tinggi
  • komitmen setiap industri
  • pelan ekonomi negara yang baik
  • membangunkan infrastruktur teknologi yang lengkap dan diselenggara baik
  • memperkasa pendidikan teknologi dan maklumat
  • memperkukuh keselamatan siber

Baca juga: Cara Kira Bilangan Patah Perkataan Dalam Karangan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Langkah-Langkah Persediaan Menghadapi Revolusi Industri 4.0

Pendahuluan

Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang Revolusi Perindustrian 4.0. Ia mencakupi penemuan pelbagai teknologi baru seperti “artificial intelligence”, analisis dan perkumpulan data, simulasi, automasi, integrasi sistem dan penggunaan robotik. Ia bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden dan mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam keperluan dan keselesaan manusia. Banyak negara telah mengorak langkah untuk memastikan mereka tidak ketinggalan kerana konsep revolusi ini bakal mengubah corak kehidupan manusia yang dahulu mustahil tetapi kini mampu menjadi realiti. Polemik yang semakin menyelebungi rakyat ini harus dibincangkan dan dikongsikan manfaat dan cara mendepaninya. Oleh itu, kita perlu mengenal pasti langkah yang perlu direncana oleh pelbagai pihak dalam persiapan menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0.

Isi 1

Strategi utama yang boleh dilaksanakan adalah melatih tenaga kerja mahir dalam kemahiran yang diperlukan untuk Revolusi Perindustrian 4.0. Kebergantungan industri terhadap sumber manusia akan digantikan dengan sumber teknologi yang lebih produktif dan berkesan berbanding sumber manusia. Peluang pekerjaan tradisi bakal digantikan dengan jenis pekerjaan baru umpamanya keperluan kepada pembangun aplikasi pintar, jurutera program mudah alih dan pakar teknologi. Pada tahun 2019, kerajaan mengumumkan peruntukkan RM206 juta disediakan untuk membangun dan menyediakan program latihan di politeknik dan kolej komuniti. Kerajaan juga memperkenal Dana Wibawa TVET berjumlah RM30 juta bagi menggalakkan institusi latihan awam bersaing untuk menawarkan program latihan lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri. Justeru, melengkapkan tenaga kerja tempatan dengan latihan kemahiran yang sesuai dengan kehendak Revolusi Industri 4.0 bakal membantu tenaga professional mengadaptasi dan tidak hilang punca pendapatan masing-masing.

Isi 2

Cabaran Revolusi Industri 4.0 seharusnya dilihat sebagai satu dimensi peralihan paradigma kepada kecekapan pengurusan dan kos sesebuah organisasi. Setiap pemain industri seharusnya memberikan komitmen yang padu dalam mendepani Revolusi Industri 4.0. Dimensi ini jika ditangani dengan bijak, mampu membantu setiap industri mencapai kelebihan daya saingnya melalui peningkatan tahap kecekapan pengurusan operasi dan pengurangan kos secara keseluruhan. Peralihan kepada teknologi komputer dan pengautomatan bukan sahaja membawa kepada kecekapan dan keberkesanan operasi, malah memberi impak besar terhadap keperluan sumber manusia. Namun begitu, industri tersebut perlu menganalisis kebolehan dalam mengadaptasi teknologi serta kesan jangka masa panjang dalam mengubah corak penghasilan produk masing-masing. Maka, pemain industri perlu berusaha mencari suntikan dana dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 yang mungkin membebankan tetapi bakal memberikan pulangan yang lebih berbaloi berbanding sebelum ini.

Isi 3

Selain itu, pihak kerajaan juga berperanan penting dalam langkah untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0. Pendekatan pelan ekonomi yang baik dan sejajar dengan penggunaan teknologi bagi penggiat ekonomi negara harus dilaksana. Misalnya, potongan dua kali ganda dilaksanakan ke atas perbelanjaan yang dilakukan syarikat bagi membangun dan meningkatkan kemahiran pekerja dalam TVET. Tambahan pula, potongan cukai juga akan diberikan kepada sumbangan peralatan dan mesin oleh mana-mana syarikat kepada Pusat Pembangunan Kemahiran, Politeknik atau Kolej Vokasional. Perangkaan undang-undang dan polisi yang mendukung industri dan juga tenaga kerja dalam mendepani revolusi ini harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan agar kebajikan rakyat dan kepentingan pemain industri dan juga negara terjamin dan mencapai simbiosis. Secara tidak langsung, strategi ini bakal menarik minat pelabur asing untuk melabur dalam negara atas kemampuan kita untuk bersaing dan mengadaptasi Revolusi industri 4.0.

Isi 4

Akhir sekali, perkara utama sebelum menghadapi Revolusi Industri 4.0 adalah dengan menyediakan infrastruktur teknologi yang serba lengkap dan diselenggara dengan baik di seluruh negara. Kemudahan telekomunikasi dan rangkaian jalur lebar perlu dikembangkan dan diselenggara dengan baik supaya pelabur atau pemain industri dapat memanfaatkan kemudahan tersebut dalam pelaksanaan Revolusi Industi 4.0. Capaian jalur lebar yang terkini iaitu dari 3G ke 4G atau 5G akan membantu keberkesanan teknologi. Infrastruktur ini bukan sahaja perlu diimplementasikan di kawasan bandar sahaja tetapi kawasan perdagangan seperti pelabuhan dan lapangan terbang juga wajar untuk dibangunkan dengan kebolehan capaian teknologi terkini. Dasar monopoli dalam sumber pembekalan infrastruktur ini harus dimusnahkan supaya semua syarikat yang layak dan berkemahiran boleh bersaing secara sihat sekaligus memberikan impak positif kepada pembangunan dan ekonomi negara.

Penutup

Natijahnya, pelbagai langkah persiapan yang boleh disusun atur supaya kita bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0. Ia memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing. Semua pihak perlu menjalankan peranan masing-masing supaya aspirasi negara untuk menjadi negara berwawasan berjaya sekaligus menyelesaikan masalah kemiskinan, pengangguran, ketidaksamaan agihan, kos sara hidup dan menjamin kestabilan ekonomi serta moral masyarakat. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni tidak ada gunung yang tidak boleh didaki, tidak ada lurah yang tidak boleh dituruni. Semoga kita sentiasa dianugerahkan pemimpin yang amanah, cendiakawan yang pemurah dan rakyat yang prihatin dalam mendepani segala cabaran kehidupan masa hadapan yang kita tidak boleh jangka dan berjaya mengharunginya demi kelangsungan generasi akan datang.