Nota

Dasar Pendidikan Kebangsaan Sebelum Merdeka Dan Selepas Merdeka

Perhatian kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya dalam mata pelajaran Sejarah. Adakah anda sudah melakukan persiapan yang cukup sebelum menghadapi peperiksaan? Jika belum, berikut dikongsikan nota-nota berkaitan Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum dan selepas merdeka sebagai panduan untuk semua.

Dalam membina pembangunan dan perpaduan bangsa Malaysia, beberapa usaha telah dirangka bagi memastikan keseimbangan antara masyarakat dapat dicapai. Antaranya adalah pengenalan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Akta Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan serta Sukan Untuk Perpaduan. Oleh itu, pelajar seharusnya mampu menghuraikan usaha tersebut dalam mencapai objektif pembelajaran mata pelajaran Sejarah.

Baca juga: Format Kertas Sejarah SPM Terkini 2021 (1249)

Perkembangan Sistem Pendidikan Negara Sebelum Dan Selepas Merdeka

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957.

Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961. Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambilkira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan (suppress) semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai.

Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk Negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Di bawah adalah perincian nota berkaitan Dasar Pendidikan Kebangsaan mengikut kategori Sebelum Dan Selepas Merdeka untuk rujukan semua.

i) Dasar Pendidikan Kebangsaan Sebelum Merdeka

A) Penyata Barnes 1950

  1. Jawatankuasa yang diketuai L. J. Barnes ditubuhkan pada Ogos 1950 bagi mengkaji sistem pendidikan di Tanah Melayu
  2. Mencadangkan semua sekolah vernakular Melayu, Cina dan Tamil dibubarkan serta digantikan dengan satu sahaja sekolah iaitu sekolah kebangsaan
  3. Dibuka kepada semua kaum dan diajar oleh guru dari pelbagai kaum dan keturunan
  4. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah serta bahasa Inggeris pada peringkat sekolah menengah dan ke atas
  5. Semua murid diberi pelajaran percuma di sekolah rendah selama enam tahun

B) Laporan Fenn-Wu

  1. Pada tahun 1951, satu jawatankuasa ditubuhkan oleh kerajaan bagi mengkaji kedudukan sekolah cina dan diketuai Dr. W.P Fenn dan Dr. Wu Teh-Yao
  2. Cadangan Laporan Barnes ditentang oleh masyarakat Cina kerana menganggap bahasa ibunda mereka akan tergugat
  3. Sekolah Cina dikekalkan tetapi kurikulum adalah berdasarkan latar belakang tempatan
  4. Menyokong konsep penggunaan 3 bahasa sebagai bahasa pengantar supaya perpaduan di antara kaum tidak terjejas
  5. Ditolak oleh UMNO kerana tidak menguntungkan orang Melayu

C) Ordinan Pelajaran 1952

  1. Pada September 1952, satu jawatankuasa Penasihat Pusat telah ditubuhkan bagi mengkaji Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu
  2. Jawatankuasa ini mengesyorkan beberapa cadangan yang kemudian diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran 1952.
  3. Penubuhan dua jenis sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
  4. Pelajaran selama enam tahun dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dilaksanakan Sekolah Kebangsaan yang dicadangkan oleh Barnes
  5. Sekolah Cina dan Tamil tidak termasuk dalam konsep sistem sekolah kebangsaan.
  6. Ordinan Pelajaran 1952 tidak dapat dilaksanakan kerana tentangan masyarakat Cina dan India, kekurangan kewangan dan ancaman pengganas komunis.

ii) Dasar Pendidikan Kebangsaan Selepas Merdeka

Dasar Pendidikan Negara

  1. Sebelum merdeka, 5 jenis sistem persekolahan yang terasing telah wujud
  2. Sejak tahun 1946, British sedar bahawa satu sistem bercorak kebangsaan harus diwujudkan bagi menyatukan masyarakat yang berbilang kaum.
  3. Rancangan ini terbukti dalam Rancangan Chessmen yang mencadangkan sekolah Inggeris sebagai asas penyatuan sistem persekolahan
  4. Usaha-usaha telah dilaksanakan sebelum negara mencapai kemerdekaan sehinggalah berjaya mencapai kemerdekaan.
  5. Dasar pendidikan yang diusakan adalah lebih bertujuan membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
  6. Penting bagi memebentuk negara yang stabil, bersatu-padu dan progresif

Laporan Abdul Razak 1957

  1. Ditubuhkan pada 30 September 1955 bagi mengkaji Ordinan Pelajaran 1952. Dipengerusikan oleh Dato’ Abdul Razak Hussein. Aspek dasar yang terkandung dalam laporan ini adalah:
    • Pembentukan sistem pendidikan kebangsaan
    • Pengakuan matlamat akhir bahawa Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama
    • Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam persekitaran Malaysia
  2. Laporan Razak mengandungi:
    • Sekolah rendah:
      • dibahagikan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan Sekolah rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahas pengantar
      • Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib
      • Murid keturunan Cina dan Tamil di sekolah aliran Inggeris diberi peluang mempelajari bahasa ibunda mereka jika terdapat 15 orang atau lebih murid yang ingin mempelajarinya
      • Guru-guru terdiri daripada pemegang Sijil Sekolah Menengah rendah dan mendapat latihan sepenuh masa setahun dan separuh masa dua tahun
    • Sekolah Menengah:
      • Dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu sekolah menengah rendah (tiga tahun) menengah atas (dua tahun) dan pra-universiti (dua tahun)
      • Satu jenis sekolah menengah sahaja yang Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib
      • Terbuka kepada semua kaum dan menggunakan sukatan yang sama
      • Bagi memasuki sekolah menengah, mesti lulus peperiksaan sebelum memasuki sekolah menengah
    • Sistem Peperiksaan:
      • Sekolah menengah rendah: Peperiksaan di peringkat Tingkatan 3 (peperiksaan bersama) dan mesti lulus Sijil Rendah Pelajaran(SRP/LCE) bagi memasuki sekolah menengah atas.
      • Sekolah menengah atas: Peperiksaan bersama di Tingkatan 5 untuk memperolehi Sijil Persekutuan Tanah Melayu yang sama taraf dengan Cambridge Overseas Certificate.
      • Pra-Universiti: Peperiksaan di Pra-U tahun kedua untuk memperolehi Sijil Tinggi Pelajaran (STP/HSC) untuk memasuki universiti.
  3. Telah diluluskan pada April 1957 dan dikuatkuaskan sebagai Ordinan Pelajaran 1957. Menerima tentangan orang melayu kerana tiada ketegasan dalam pelaksanaan bahasa kebangsaan. Manakala masyarakat Cina berasa sesetangah cadangan dikatakan mengabaikan pendidikan Bahasa Cina

Laporan Abdul Rahman Talib 1960

  1. Satu jawatankuasa penyemak pelajaran telah ditubuhkan pada tahun 1959 bagi mengkaji semula perlaksanaan Laporan Razak serta langkah-langkah untuk mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan. Ia diketuai Abdul Rahman Haji Taib
  2. Bahasa kebangsaan:
    • Bahasa Melayu dijadiakn sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi
    • Peperiksaan awam diadakan dalam Bahasa Melayu
    • Semua calon mesti lulus Bahasa melayu sebelum masuk ke sekolah menengah
  3. Kelas peralihan:
    • Diadakan bagi pelajar SRJK (C) dan SRJK (T) yang ingin bertukar ke sekolah menengah aliran Melayu atau Inggeris
  4. Kenaikan automatik:
    • Kenaikan darjah secara automatik di semua sekolah rendah dan sekolah menengah bantuan kerajaan
    • Peluang pendidikan selama 9 tahun disediakan secara automatik iaitu 6 tahun sekolah rendah dan 3 tahun sekolah menengah rendah
    • Pelajaran percuma kepada semua sekolah rendah tanpa mengira bahasa pengantarnya
  5. Mata pelajaran akhlak:
    • Murid beragama Islam mempelajari Pendidikan Islam
    • Murid bukan beragama Islam mempelajari Pendidikan Moral

Akta Pelajaran 1961

  1. Syor-syor Laporan Abdul Rahman Talib telah digubal menjadi Akta Pelajaran 1961
  2. Semua sekolah menggunakan kurikulum yang sama tanpa mengira aliran sekolah.
  3. Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dari sekolah rendah ke sekolah menengah sampai institusi pengajian tinggi.
  4. Umur minimum meninggalkan sekolah sekurang-kurangnya pada umur 15tahun.

Laporan Kabinet 1979

  1. Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji pelajaran dalam menyahut cabaran sains dan teknologi serta Dasar Ekonomi Baru. Hasil kajian ini terdapat dalam Laporan Kabinet 1979:
    • Penegasan kepada paradigma kurikulum ala Malaysia.
    • Penegasan kepada pendidikan asas dalam 3M (membaca,menulis dan mengira) dan pengajaran pemulihan.
    • Pelajaran menengah atas melalui saluran akademik dan vokasional.
    • Peluang melanjutkan pelajaran dari 9 hingga 11 tahun
    • Pendidikan kerohanian yang kukuh.
    • Peningkatan keseluruhan mutu pelajaran.

Sekadar ini sahaja perkongsian berkaitan Dasar Pendidikan Kebangsaan (pembangunan pendidikan) sebelum dan selepas merdeka. Semoga pelajar mendapat manfaat dan berjaya dalam menjawab peperiksaan yang bakal dihadapi.