Karangan

Cara-Cara Menangani Kenaikan Harga Barang

Pelbagai polemik yang menjadi pilihan untuk menjadi tajuk soalan karangan Bahasa Melayu. Justeru, guru-guru gemar memberikan latihan yang banyak kepada pelajar agar mereka didedahkan kepada setiap tema yang berpotensi menjadi soalan karangan Bahasa Melayu. Para pelajar pula perlu tekun dan rajin untuk menulis serta sentiasa mengambil tahu isu semasa sebagai persediaan untuk menjawab soalan yang berkaitan. Dibawah adalah contoh karangan usaha membendung kenaikan harga barang sebagai rujukan pelajar.

Sekiranya pelajar mempunyai kesukaran dalam menulis karangan bahasa Melayu yang baik, anda perlu melakukan latihan tambahan dengan merujuk contoh-contoh di atas talian. Selain itu, pelajar digalakkan untuk menggunakan frasa-frasa menarik seperti penanda wacana, peribahasa dan simpulan bahasa yang tepat. Tambahan pula, ayat yang mudah tanpa ada kesalahan tatabahasa dan ejaan juga membantu pelajar untuk menghasilkan penulisan karangan yang baik.

peta minda usaha membendung kenaikan harga barang Cara-Cara Menangani Kenaikan Harga Barang

Langkah Dan Usaha Membendung Kenaikan Harga Barang Di Pasaran

Isi-isi penting

  • Menetapkan harga siling barang
  • Pengeluaran mengikut unjuran permintaan
  • Amalan berjimat-cermat
  • Menguatkuasakan undang-undang
  • Memboikot barang atau pasaraya yang menaikkan harga
  • Melaksanakan kempen yang berkesan

Baca juga: Cara Mengira Berapa Patah Perkataan Dalam Karangan BM

Contoh Karangan Usaha Membendung Kenaikan Harga Barang

Pendahuluan

Sejak akhir-akhir ini, kenaikan harga barang telah menjadi bualan masyarakat akibat pergolakan ekonomi yang melanda. Polemik ini menjadi antara faktor kos sara hidup di Malaysia meningkat dari tahun ke tahun. Namun, kadar gaji dan peluang kerja yang ditawarkan masih berada di takuk yang sama pada 10 tahun yang lalu. Masalah ini mungkin timbul oleh sikap tamak peniaga, pengilang atau kapitalis yang mengawal ekonomi dan bersikap seperti lintah darat. Sekiranya sikap mengaut keuntungan ini tidak dihentikan, jurang antara golongan berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah akan semakin menjarak. Oleh itu, apakah inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi membendung kenaikan harga barang terus berlaku dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat konvensional?

Isi 1

Prakarsa utama yang boleh dilakukan adalah dengan memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap harga barang terutamanya barang keperluan asas seperti beras, minyak masak dan gula. Kerajaan yang intelektual dan prihatin dengan kelangsungan hidup rakyat sewajarnya menetapkan harga siling terhadap barang-barang asas yang lazimnya mendapat permintaan tinggi daripada pengguna. Tindakan ini pernah dilaksanakan tetapi hanya apabila hari perayaan berlangsung dan tidak dikekalkan untuk tempoh yang lama. Justeru, pihak berkuasa perlu menjalankan kajian bagi mencari senarai barang keperluan yang penting untuk penduduk tempatan dalam kehidupan seharian. Kesannya, rakyat dapat membeli barang keperluan bagi meneruskan kehidupan masing-masing walaupun ekonomi negara terumbang-ambing akibat daripada pergolakan negara-negara yang berkuasa.

Isi 2

Selain daripada itu, pembendungan kenaikan harga barang boleh dilakukan dengan memastikan pengeluaran barang mengikut unjuran permintaan pengguna. Usaha ini memerlukan kerjasama dan etika daripada pihak pembekal dan pengeluar produk. Hal ini demikian kerana pada musim perayaan atau krisis, permintaan pengguna akan bertambah dan terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang. Pihak berkuasa perlu menjalankan kajian dan menganalisis unjuran permintaan masyarakat saban tahun untuk mengeluarkan jumlah jangkaan pengguna pada masa hadapan. Oleh itu, produktiviti perlu dilipatgandakan bagi menampung kekurangan yang ada pada waktu-waktu tertentu. Tambahan pula, pemberian subsidi kepada pengeluar dapat membantu pengeluaran yang mencukupi untuk menampung permintaan rakyat yang semakin bertambah.

Isi 3

Dari sudut pandang pengguna pula, kenaikan harga barang boleh dielakkan dengan amalan berjimat cermat. Dewasa ini, pengguna kebanyakannya berbelanja mengikut kehendak dan lebih daripada keperluan masing-masing.  Situasi ini berlaku rentetan pengaruh media massa dan selebriti yang menggunakan media sosial untuk menunjukkan kemewahan hidup. Golongan marhaen sepatutnya membuat perbandingan harga antara pasaraya dan kedai sebelum membuat pembelian. Kehadiran pasaraya yang menjual pada harga borong dan berpatutan perlu diperbanyakkan pada kawasan-kawasan tertentu terutamanya kawasan luar bandar. Pengguna juga digalakkan untuk mengamalkan kitar semula dengan menggunakan barang lama dan terpakai. Pelbagai tutorial yang telah dimuat naik secara atas talian yang membantu kita untuk menukar barangan lama kepada barangan yang berguna untuk digunakan pada ketika ini. Justeru, amalan berjimat cermat bukan sahaja mengurangkan kenaikan harga barang malah membantu menyelamatkan alam sekitar.

Isi 4

Pada masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang adalah penting dalam membendung kenaikan harga barang. Pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan lebih kerap atau menyediakan medium yang mudah untuk masyarakat melaporkan sebarang kenaikan harga yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu menggesa peniaga mempamerkan tanda harga pada setiap produk yang dijual bagi mengelakkan pengguna daripada tertipu. Penetapan Akta Kawalan Harga yang lebih menyeluruh serta hukuman yang lebih berat wajar dilaksanakan supaya peniaga sedar tanpa pengguna, mereka tidak dapat menjalankan perniagaan mereka. Jika tiada usaha daripada pihak kerajaan, peniaga akan terus menaikkan harga barang dan masyarakat akan ditindas. Tuntasnya, pemantauan daripada pihak berkuasa terhadap peniaga yang menaikkan harga barang amat diperlukan kerana ianya adalah salah satu langkah untuk membendung kenaikan harga barang

Penutup

Konklusinya, pelbagai usaha yang boleh digarap untuk membendung kenaikan harga barang yang semakin merunsingkan masayrakat hari ini. Isu ini pasti dapat diselesaikan dengan baik sekiranya semua pihak bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memainkan peranan masing masing. Sebagai rakyat, kita hendaklah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Semoga pihak berkuasa konsisten dalam memperjuangkan isu yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini agar kemakmuran bersama dapat dicapai secara saksama.

Related : isu kenaikan harga barangan,