Tips
Koleksi Peribahasa Melayu Dan Simpulan Bahasa & Maksud
Senarai simpulan bahasa dan maksud peribahasa Melayu yang Terdapat dalam Buku Teks sekolah rendah dan menengah beserta maksud di bawah adalah sebagai panduan dan rujukan pelajar. Penggunaan peri bahasa dalam penulisan karangan adalah digalakkan dan menjadi daya penarik kepada pembaca serta penanda kertas. Peri bahasa boleh didefinisikan sebagai aturan kata-kata yang ringkas tetapi memberi erti yang luas. Ianya seharusnya mengandungi kebenaran, indah untuk didengar, penggunaan kata-kata yang bijak dan senang difahami. Ia merupakan warisan bahasa Melayu yang indah yang seharusnya dihargai dan dirai sampai bila-bila.
Maka, penerapan peri bahasa dalam penulisan karangan adalah langkah yang amat mustahak dalam mendidik serta mengamalkan apa yang tersirat dalam peri bahasa tersebut pada kehidupan harian para pelajar terutamanya. Mustahak untuk pelajar-pelajar mengetahui dan menggunakannya yang betul ejaannya serta kena pada maksudnya apabila ditulis dalam karangan. Maka, pemahaman yang lebih baik hendaklah dikaji atau ditanya kepada guru masing-masing adakah ianya sesuai atau tidak untuk digunakan dalam penulisan karangan anda.
Isi Kandungan
Senarai Peribahasa Melayu & Simpulan Bahasa Beserta Maksudnya Mengikut Tema
Berikut adalah senarai peribahasa beserta maksudnya mengikut tema yang bersesuaian dengan soalan-soalan karangan Bahasa Melayu:
Hubungan Kekeluargaan | |
Ayat | Maksud |
Air yang dicincang tidak akan putus | Seseorang yang bersaudara itu tidak akan bergaduh berterusan walaupun berlaku sesuatu perselisihan. |
Anak sebatang kara | Seseorang anak yang tidak mempunyai keluarga atau saudara mara. |
Anak di pangkuan dibiarkan, kera di hutan disusui | Seseorang yang menguruskan atau melakukan sesuatu kerja untuk orang lain sedangkan kerjanya atau urusannya sendiri tidak disempurnakan atau diabaikan. |
Kecil-kecil menjadi anak, sudah besar menjadi onak | Semasa kecil anak itu menyenangkan hati kedua-dua orang tuanya tetapi apabila sudah dewasa, ia menyusahkan. |
Kasihkan anak ditangan tangankan, kasihkan isteri ditinggal-tinggalkan | Seseorang itu dinasihatkan supaya tidak memanjakan anak atau isterinya agar tidak menyesal kemudian hari. |
Bapak borek anak rintik | Sifat seseorang anak yang tidak jauh bezanya dengan sifat orang tuanya. |
Dianaktirikan | Seseorang yang selalu disisihkan. |
Sebatang kara | Seseorang yang hidup seorang diri tanpa ibu dan ayah dan juga tidak mempunyai saudara-mara. |
Bagai inai dengan kuku | Kasih sayang yang sukar untuk dipisahkan. |
Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi | Seseorang anak itu sedikit sebanyak akan mengikut bakat ayah atau ibunya. |
Amalan kemasyarakatan adalah penting dalam kehidupan zaman moden ini.
Hubungan Kemasyarakatan | |
Ayat | Maksud |
Bagai aur dengan tebing | Dua orang yang bersahabat baik atau sepasang suami isteri yang kasih-mengasihi dan hidup rukun damai atau sikap tolong-menolong yang tidak dapat dipisahkan lagi. |
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing | Keluarga atau sahabat yang sama sepakat dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan, sama ada yang ringan ataupun yang berat. |
Rambut sama hitam tetapi hati masing-masing lain | Setiap manusia itu mempunyai pendapat yang berlainan antara satu dengan yang lain walaupun pada lahirnya ia kelihatan sama. |
Seperti isi dengan kuku | Suatu persahabatan yang begitu erat sekali. |
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing | Wujud permuafakatan dalam mengerjakan sesuatu, sama-sama menanggung susah dan senang. |
Bersatu teguh. bercerai roboh | Kalau bersatu menjadi kuat tetapi sekiranya berpecah akan menjadi lemah. |
Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi | Perselisihan atau keeratan persahabatan itu datangnya daripada kedua-dua belah pihak. |
Sikap tidak baik terhadap sesorang perlu dijauhi bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Sikap Negatif Individu dan Masyarakat | |
Ayat | Maksud |
Mengaburi mata orang | Seseorang yang menipu atau membodohkan orang. |
Ada udang di sebalik batu | Seseorang yang mempunyai maksud tertentu di sebalik apa yang dilakukannya. |
Bagai mencincang air | Seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan yang sia-sia. |
Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri | Seseorang yang menceritakan keburukan keluarganya kepada orang lain tetapi akhirnya dia sendiri yang mendapat malu. |
Seperti anjing dengan kucing | Orang yang selalu bertengkar. |
Anjing ditepuk menjungkit ekor | Seseorang yang tidak berbudi, jika dihormati akan menjadi sombong. |
Anjing menyalak tiada menggigit | Seseorang yang bercakap besar tetapi penakut. |
Sudah terhantuk baru terngadah | Seseorang yang baru sedar akan kesalahannya setelah mendapat kesusahan. |
Awak yang tidak pandai menari, dikatakan lantai yang berjongket | Seseorang yang ingin menutup kebodohan atau kesalahannya dengan mencari alasan yang lain atau meletakkan kesalahan ke atas orang lain. |
Seperti musang berbulu ayam | Seseorang yang berpura-pura berbuat baik untuk menyembunyikan kesalahannya. |
Hangat-hangat tahi ayam | Seseorang yang tidak kuat kemahuan atau pendiriannya. |
Lempar batu sembunyi tangan | Orang yang khianat dan tidak mengakui akan kesalahannya. |
Bagai Belanda meminta tanah | Seseorang yang tamak yang tidak pernah mencukupi apabila diberikan kerana ia akan meminta lagi. |
Diberi betis, hendak paha | Seseorang yang tamak kerana apabila diberi sedikit, dia meminta banyak lagi. |
Buaya darat | Seseorang yang jahat atau suka berfoya-foya dengan perempuan silih berganti. |
Buta hati | Seseorang yang tidak mempunyai belas kasihan atau seseorang yang bengis. |
Harapkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan | Seseorang yang mengharapkan keuntungan yang besar lalu melepaskan keuntungan kecil yang sudah berada dalam genggam. |
Seperti kerbau dicucuk hidung | Seseorang yang bodoh dan selalu menurut apa yang dikatakan orang. |
Kacang lupa akan kulitnya | Seseorang yang lupa akan asal usulnya setelah mendapat kekayaan atau kemuliaan. |
Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran | Seseorang yang tamak menharapkan keuntungan yang banyak sehingga keuntungan sedikit yang ada ditinggalkan. |
Lembu punya susu, sapi dapat nama | Orang lain yang bersusah payah mengerjakannya tetapi orang lain pula yang mendapat nama. |
Seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul | Seseorang yang memberi nasihat yang baik-baik kepada orang lain tetapi dia sendiri tidak dapat melaksanakannya. |
Masuk telinga kanan keluar telinga kiri | Sesuatu muslihat yang tidak dihiraukan sama sekali. |
Belajar dan mencari ilmu yang berguna adalah sikap yang sangat baik dan perlu diikuti oleh semua orang.
Ilmu Dan Pendidikan | |
Ayat | Maksud |
Belum bertaji hendak berkokok | Seseorang yang belum mempunyai ilmu yang cukup tetapi sudah berlagak. |
Sekepal menjadi gunung, setitik menjadi laut | Sesuatu nasihat yang diberikan mungkin terlalu sedikit tetapi adalah amat berharga. |
Laut ditimba tak akan kering | Kepandaian sesorang itu tidak akan habis selagi hayat dikandung badan. |
Belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam | Seseorang yang bodoh sekiranya rajin belajar, akhirnya akan pandai juga. |
Kerajaan Dan Negara | |
Ayat | Maksud |
Kalah menjadi abu, menang menjadi arang | Walaupun kalah atau menang dalam sesuatu perselisihan, masing-masing akan mengalami kerugian. |
Bahasa menunjukkan bangsa | Setiap tingkah laku atau tutur kata yang dilafazkan oleh seseorang itu dapat menunjukkan asal-usul keturunannya. |
Gajah berjuang sama gajah, palanduk mati di tengah-tengah | Sekiranya orang-orang besar berselisih atau bergaduh, orang-orang di bawahnya yang akan mendapat kesusahan |
Nilai-Nilai Murni | |
Ayat | Maksud |
Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah | Kita mestilah mengikut sesuatu adat yang baik. |
Buang yang keruh dan ambil yang jernih | Seseorang yang meninggalkan pekerjaan lamanya yang tidak baik dan memulakan penghidupan yang baru. |
Mencabut harus dengan akar-akarnya | Sekiranya kita hendak membasmi sesuatu kejahatan, hendaklah dihapuskan puncanya. |
Alah membeli, menang memakai | Sesuatu barang yang dibeli mahal sedikit pun tidak mengapa asalkan barang itu kuat dan tahan apabila dipakai. |
Alah bisa kerana biasa | Walaupun sesuatu itu sukar, sekiranya sentiasa dilakukan, sudah pasti akan menjadi biasa dan senang. |
Genggam bara api, biar sampai jadi arang | Seseorang itu hendaklah melakukan sesuatu pekerjaan yang sukar dengan bersungguh-sungguh agar mendapat kejayaan. |
Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain | Sesuatu pekerjaan yang dikerjakan sedikit demi sedikit lama-kelamaan berhasil juga. |
Biar lambat asalkan selamat | Dalam mengerjakan sesuatu hal, janganlah terburu-buru asalkan segalanya selamat. |
Berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekali | Seseorang itu dinasihatkan jangan terlalu berlebih-lebihan apabila berbuat baik dan jangan sekali-kali berbuat jahat. |
Yang elok itu budi, yang indah itu bahasa | Budi bahasa yang baik dapat menyelamatkan kita dan akan membuat kita dihormati orang ramai. |
Tidak memandang bulu, tidak melihat rupa | Seseorang yang berlaku adil iaitu sama rata dan tidak berat sebelah |
Bumi dipijak, langit dijunjung | Seseorang yang menurut nasihat dan mematuhi segala yang diarahkan. |
Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan | Seseorang yang sangat berterima kasih atas pertolongan ataupun nasihat yang diberikan oleh seseorang. |
Murah hati | Seseorang yang penyayang dan mempunyai sifat yang simpati atau kasihan. |
Putih tulang dikandung tanah, budi baik dikenang juga | Budi bahasa yang baik itu tidak akan dilupakan orang. |
Realiti dan Kehidupan | |
Ayat | Maksud |
Ada ubi ada batas, ada budi ada balas | Setiap kebaikan itu akan dibalas dengan kebaikan dan setiap kejahatan itu akan dibalas dengan kejahatan. |
Adat juara kalah menang, adat saudara laba rugi | Dalam kehidupan, kita akan mengalami nasib yang baik dan juga nasib tidak baik. |
Bagai kambing dihalau ke air | Seseorang yang tidak mahu mengerjakan atau melakukan sesuatu pekerjaan yang tidak disukainya atau digemarinya. |
Berpantang mati sebelum ajal | Seseorang itu tidak semestinya akan meninggal dunia apabila telah tua kerana Tuhan yang menentukan segala-galanya. |
Angin tidak dapat ditangkap, asap tak dapat digenggam | Sesuatu berita yang luar biasa atau ganjil itu sudah pasti tidak dapat diesmbunyikan kerana lama-kelamaan akan tersebar jua. |
Kalau tiada angin bertiup, masakan pokok bergoyang | Apabila seseorang itu tidak melakukan kesalahan, dia tidak mungkin dituduh. |
Melepaskan anjing tersepit, sesudah lepas ia menggigit | Seseorang yang tidak mengenang budi atau kebaikan yang diberi dibalas dengan keburukan. |
Kalau tidak api, masakan tidak ada asap | Sekiranya seseorang itu tidak bersalah, dia tidak mungkin dituduh. |
Berat hati | Seseorang yang tidak sampai hati, tidak rela, berasa segan. |
Berat sebelah | Seseorang yang tidak adil dalam membuat sesuatu keputusan. |
Siapa makan cili, dialah akan berasa pedas | Sesiapa yang berani berbuat sesuatu dia hendaklah berani bertanggungjawab. |
Diam-diam ubi | Seseorang yang pendiam tetapi banyak mempunyai ilmu pengetahuan. |
Tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni | Setiap perkara akan dapat dilaksanakan sekiranya kita berhati-hati dan bersungguh-sungguh. |
Guru kencing berdiri, murid kencing berlari | Apabila seorang guru itu mengajar sesuatu yang tidak baik, ia sangat mudah ditiru oleh muridnya. |
Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati | Hutang wang dapat dibayar tetapi sekiranya hutang budi akan sentiasa dikenang sampai ke akhir hayat. |
Ingat antara belum kena, hemat antara belum habis | Kita hendaklah beringat dahulu agar tidak terpedaya dan agar harta tidak habis dengan sewenang-wenangnya. |
Lain dahulu lain sekarang | Masa telah mengubahkan seseorang dan langkahnya juga turut berlainan. |
Nasi sudah menjadi bubur | Perbuatan yang sudah terlanjur yang tidak dapat kita sesalkan kerana tidak berguna lagi. |
Sediakan payung sebelum hujan | Seseorang itu hendaklah sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia sebelum terjadi apa-apa. |
Turutkan rasa binasa, turutkan hati mati. | Seseorang itu akan menghadapi kecelakaan sekiranya menurut hawa nafsu. |
Biar lambat asalkan selamat | Tak perlu tergesa-gesa dalam melakukan sesuatu pekerjaan, asalkan hasilnya baik. |
Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan | Jika sudah mengetahui akan kesalahan yang telah dilakukan hendaklah kembali ke jalan yang sebenar. |
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga | Manusia itu walaupun sebijak mana, tentu akan membuat kesilapan juga. |
Usul menunjukkan asal | Tingkah laku seseorang itu menunjukkan tinggi atau rendahnya darjat seseorang. |
Definisi Bagi Sesuatu atau Seseorang | |
Ayat | Maksud |
Di mana ada gula, di situ ada semut | Di mana tempat yang mempunyai kesenangan atau kenikmatan, tentu ramai yang akan mengunjunginya. |
Khabar angin | Sesuatu khabar atau berita yang belum pasti akan kebenarannya. |
Makan angin | Menghirup udara yang baik untuk kesihatan badan atau seseorang yang berjalan-jalan menghabiskan cutinya berehat. |
Jauh panggang dari api | Sesuatu jawapan yang diberikan tidak bersesuaian atau bertepatan dengan soalan atau pertanyaan yang dikemukakan. |
Seperti api dalam sekam | Sesuatu kejahatan yang tidak diketahui kerana ia telah dirahsiakan. |
Besar hati | Seseorang yang gembira atau bersemangat tinggi. |
Besar kepala | Seseorang yang sombong dan angkuh. |
Buah hati | Seseorang yang dikasihi atau kekasih. |
Buah bibir | Buah mulut orang laitu yang menjadi perbicaraan orang ramai dan selalu disebut atau diperkatakan orang. |
Bagai bumi dengan langit | Dua hal atau perkara yang sangat jauh sekali perbezaannya. |
Bumi mana yang tak kena hujan | Setiap manusia di muka bumi ini pasti tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan ataupun kesusahan. |
Seperti cacing kepanasan | Seseorang yang selalu berada dalam keadaan gelisah. |
Sudah lama makan garam | Seseorang yang mempunyai banyak pengalaman. |
Hilang akal | Seseorang yang hilang fikiran atau gila. |
Jatuh hati | Seseorang yang telah jatuh cinta atau kasihan. |
Jauh di mata dekat di hati | Walaupun berada berjauhan tetapi sentiasa diingati dan sentiasa berasa berada berhampiran. |
Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang | Hidup yang sangat miskin dan rezeki hanya cukup untuk dimakan pada masa itu sahaja. |
Kaki tangan | Orang kepercayaan atau pembantu. |
Barang yang dikata itulah kota | Setiap perkataan yang diucapkan haruslah ditunaikan. |
Seperti kera kena belacan | Seseorang yang selalu gelisah atau kelihatan tidak tenteram kerana sesuatu sebab. |
Lain-Lain
- Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian : Maksud: Untuk mendapat kesenangan, biar bersusah payah dahulu
- Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan : Maksud: Orang lelaki yang merisik bakal isterinya
Semoga perkongsian di atas dapat membantu pelajar-pelajar dalam membuat ulangkaji mata pelajaran menjelang ujian atau peperiksaan.
Rel : negeri orang, orang bodoh alang alang, situ langit dijunjung, anak jangan mati adat, hujan emas di negeri orang hujan batu, dewan bahasa dan pustaka, hidung sudah rampung diatur orang, berusaha untuk,